Selamat Datang

Portal ini merupakan alternatif kepada pelajar dan masyarakat untuk mendapatkan informasi berkaitan pengumuman , aktiviti dan program terkini yang melibatkan Pejabat HEP dan para pelajar Selangor di Mesir

Segala artikel,pengumuman dan berita yang tersiar adalah merupakan suara pejabat HEP Selangor namun segala komentar dan pandangan adalah pandangan peribadi pelayar ,bukan mewakili Pejabat HEP Selangor.segala pertanyaan ,aduan dan pandangan boleh dirujuk kepada Pejabat HEP Selangor Mesir +20224092392

WAKTU PERKHIDMATAN KAMI : HARI AHAD - KHAMIS ( WAKTU : 8.30AM - 3.30PM / REHAT : 12PM -1PM )

AHLAN WA SAHLAN..KAMI MENGALU-ALUKAN KEHADIRAN ANDA.

Jumaat, 1 April 2011

PERINGATAN TENTANG KESELAMATAN



Pejabat Hal Ehwal Pelajar Selangor amat mengambil berat soal keselamatan pelajar sepanjang keberadaan mereka di Negara Mesir ini. Kes-kes yang berlaku seperti samun, kecurian dan ugutan ke atas pelajar di sekitar Hayyu 'Asyir dan cawangan-cawangan yang lain sejak akhir-akhir ini menuntut agar para pelajar tidak memandang ringan soal keselamatan diri mereka. Garis panduan yang telah di keluarkan oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah wajar dipatuhi demi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Terbaru, semalam diberitakan seorang pelajar Selangor diperas ugut di kawasan Walidain dan Bawabah Talitah sehinggakan diacukan pistol sebagai ancaman. Beberapa lagi kes sebelum ini yang berlaku sebenarkan memberi peringatan yang jelas kepada kita semua mahasiswa untuk menjaga keselamatan diri dengan semaksima mungkin dan mengambil langkah sangat berjaga-jaga pada satiap masa lebih-lebih lagi ketika berada di luar
Sebarang aduan keselamatan dan musibah, sila berhubung dengan pihak kami di talian pejabat : (002)02-24092392 atau Pegawai Selangor : 014-2441046 atau hubungi wakil-wakil persatuan pelajar yang berhampiran dengan kediaman anda.

Seluruh pelajar Selangor di setiap muhafazah dingatkan agar mengambil perhatian tentang perkara berikut :

1. Sila patuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).
2. Sila patuhi arahan perintah berkurung yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Tertinggi Angkatan Tentera Mesir yang bermula jam 12 pagi hingga 6 pagi. Namun, diminta untuk berada di dalam kediaman masing-masing selewat-lewatnya jam 10 malam.
3. Dilarang menyertai sebarang perhimpunan atau aktiviti yang berbaur politik tempatan.
4. Elakkan mengulas sebarang isu politik yang berlaku di Mesir dengan warga Arab tempatan.
5. Pastikan tidak keluar seorang diri samada siswa atau siswi.
6. Pastikan kediaman dikunci rapi sebelum keluar.
7. Jangan terpedaya dengan dakwaan warga Arab tempatan sebagai “mabahis”.

Beringat sebelum kena, keselamatan diri dan nyawa perlu diutamakan.

ZIARAH PEGAWAI KE IMARAH DAN RUMAH SEWA SIRI 1



Pada hari Selasa, 29 Mac 2011, Pegawai HEP Selangor telah melakukan ziarah ke Rumah Penginapan Sementara pelajar Selangor di Hayyu Sabe'.

Lawatan bertujuan untuk merapatkan hubungan antara pegawai dan pelajar disamping mendengar sebarang aduan, keluhan atau rungutan berkaitan kebajikan, kesihatan dan keselesaan pelajar.

Program ini mendapat kerjasama dan respon yang amat baik daripada para pelajar.

MAJLIS KESYUKURAN DAN RAMAH MESRA PEGAWAI HEP SELANGOR BARU




Gambar Ehsan Dari BKASM

Pada hari Sabtu, 26 Mac 2011, Pejabat HEP Selangor Mesir dengan kerjasama Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir(BKASM) telah menganjurkan program Majlis Kesyukuran dan Ramah Mesra bersama pegawai HEP baru, Ustaz Mohd Faryzan Subkhi beserta keluarganya.

Majlis yang bertempat di Dataran Hayyu Asyir ini bertujuan untuk melahirkan kesyukuran kepada Allah SWT atas kejayaan Ops. Ehsan yang telah dilaksanakan baru-baru ini disamping memperkenalkan Pegawai HEP Selangor yang baru memulakan tugasnya di Mesir.

Seramai lebih 700 pelajar yang terdiri daripada pelbagai cawangan hadir memeriahkan majlis tersebut.

Semoga majlis ini menjadi pemangkin kepada pengukuhan ukhuwah antara pegawai dan seluruh pelajar Selangor di bumi Mesir ini.

KERAJAAN NEGERI SELANGOR MELAKSANAKAN OPS. EHSAN



Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan usaha menghantar semula warga Mahasiswa Selangor yang menuntut di Mesir kembali menyambung pengajian mereka. Usaha yang dinamakan OPS.EHSAN yang disertai oleh Agensi Kerajaan Negeri Selangor iaitu Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS), Lembaga Zakat Selangor(LZS) dan Tourisme Selangor serta dan NGO Islam iaitu ILMAM dan Yayasan Amal Negeri Selangor telah menguruskan penghantaran pelajar seramai 1,162 orang.

Melalui 5 penerbangan khas EgyptAir mulai 14 Mac 2011 hingga 18 Mac 2011, kos operasi yang menelan belanja hampir RM2.5 juta telah terlaksana dengan jayanya.

Pegawai HEP Selangor, Ustaz Mohd Faryzan Subkhi yang telah tiba lebih awal melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar Selangor Mesir dengan kerjasama Badan Kebajikan Anak-anak Selangor Mesir(BKASM) telah menguruskan usaha memastikan pelajar dapat sampai ke rumah-rumah pelajar dan rumah sewa di setiap cawangan dengan lancar dan sempurna. Sebanyak 30 buah bas, tranco dan lori telah digunakan sepanjang 5 hari Ops. Ehsan berjalan.

Dikesempatan ini, Pejabat HEP Selangor mewakili seluruh warga Selangor mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri melalui pelbagai agensi yang dinaungi oleh YB Dr. Halimah Mohd Ali dan YB Dato Hassan bin Mohd Ali atas keprihatinan mereka terhadap warga Selangor yang menuntut ilmu di Bumi Kinanah ini dengan memastikan kami dapat sampai kembali dengan selamat.

Segala sumbangan ini akan dibalas dengan tekad kecemerlangan dalam pelajaran seterusnya memberi bakti kepada Negeri Selangor dan warganya.

Rabu, 30 Mac 2011

KAYA HARTA KAYA JIWA

Seringkali manusia menilai kekayaan itu dengan banyak harta yang bertimbun, rumah yang indah, kereta mewah yang menjalar, pakaian yang cantik dan wang simpanan yang berkepuk di dalam bank. Kemewahan dan kekayaan tersebut menjadi idaman dan impian setiap manusia. Sangkaan mereka dengan kemewahan tersebut, hidup terasa bahagia dan menyeronokkan. Namun, benarkah dengan segala kemewahan itu dapat menenangkan jiwa?

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A telah berkata ia bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud :

Yang dikatakan kaya itu bukanlah kerana banyak harta, tetapi sebenar-benar kaya ialah kaya jiwa.

Abdul Rahman bin Auf r.a adalah contoh insan unggul yang memilki kekayaan harta dan jiwa. Anas bin Malik r.a pernah meriwayatkan bahawa ketika Siti Aisyah r.a berada di rumah, dia terdengar bunyi riuh rendah, lalu bertanya akan hal itu pada para sahabat. Dan diketahuilah bahawa bunyi itu adalah derap unta kafilah dagang Abdul Rahman bin Auf. Lalu Aisyah berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Aku melihat Abdul Rahman bin Auf memasuki syurga dengan merangkak!” Berita itu akhirnya sampai ke pendengaran Abdul Rahman bin Auf lalu dia datang bertemu Aisyah bertanyakan hal itu. Aisyah menerangkan padanya tentang kekayaan yang membuatkannya merangkak masuk ke syurga. Maka disitu juga Abdul Rahman bin Auf berkata: “Saksikanlah! bahawa tujuh ratus ekor unta ini dengan muatannya itu aku sedekah pada jalan Allah!”

Bukan mudah untuk jiwa ini tunduk mengorbankan harta yang amat dikasihi semata-mata memenuhi kehendak iman. Abdul Rahman diberikan keistimewaan oleh Allah menguasai harta dunia ditangan tetapi beliau tidak meletakkan harta itu di dalam jiwanya. Beliau meyakini kesejahteraan akhirat lebih utama berbanding dunia yang sementara.

Inilah manusia yang wajib kita contohi. Kekayaan yang dimiliki tidak melalaikan dirinya kepada akhirat malah diletakkan sebagai matlamat utama berbanding dunia.

Simiskin yang kaya jiwanya pula tidak memandang bahawa kemiskinan itu menjadi penghalang untuknya mendapat keredhaan Allah S.W.T . Orang kaya yang bersedekah dan berzakat adalah yang sewajarnya kerana mereka berharta, tetapi orang miskin yang bersedekah adalah lebih mulia kerana dalam keadaan hidupnya yang susah mereka masih merasakan ada lagi insan yang lebih susah hidup berbanding dirinya.

Simiskin akan jadi pemurah apabila jiwanya kaya. Satu ringgit yang didermakan oleh orang miskin tidak akan sama nilainya dengan satu ringgit yang didermakan oleh orang kaya. Satu ringgit tetap bernilai satu ringgit bagi orang kaya atau mungkin lebih rendah lagi jika dibandingkan kekayaan yang dimiliki. Sebaliknya satu ringgit mungkin bernilai sepuluh ringgit bagi orang miskin kerana sukarnya orang miskin untuk mendapatkan wang tersebut.

Justeru itu, keikhlasan seorang miskin yang dermawan mungkin lebih tinggi martabatnya berbanding seorang kaya yang dermawan kerana orang miskin yang dermawan pasti lebih tinggi martabatnya kerana dalam keadaan dirinya menghadapi kesulitan hidup namun dia masih mampu untuk menderma dan membantu orang lain.

Hal sedemikian sering dilakukan oleh Sayyidina Ali Abu Thalib dan Siti Fatimah r.a suami isteri, walaupun mereka sendiri hidup dalam kemiskinan. Sayyidina Ali pernah melucutkan cincin perak dari jarinya dan memberikannya kepada seorang peminta sedekah yang datang kepadanya, walaupun beliau ketika itu sedang sibuk mendirikan solat kerana takut peminta sedekah itu berlalu tanpa mendapat apa-apa, sebelum beliau selesai solat.

Wahai insan,

Marilah kita meringankan tangan untuk bersedekah dan berzakat kerana amalan itu akan menjadikan kita insan berjiwa kaya. Alangkah beruntungnya anda sekiranya memiliki kekayaan harta dan kekayaan jiwa.  Alangkah mulianya anda sekira tidak memiliki kekayaan harta tetapi memiliki kekayaan jiwa. Jiwa yang kaya akan melahir insan agung seperti Abdul Rahman bin Auf yang kaya harta dan jiwa atau seperti para sahabat yang lain, mereka miskin harta tetapi memilki jiwa yang kaya. Nanti di akhirat kita akan membawa jiwa yang kaya ini mengadap Allah dengan penuh kesejahteraan dan kedamaian sebagaimana firmanNya di dalam Surah As-Syuaraa’, ayat 88-89:

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, Kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah Dengan hati(jiwa) yang selamat sejahtera.


Oleh :
Mohd Faryzan bin Subkhi
Pegawai HEP Selangor Mesir
Kaherah, Mesir

SAYANG HARTA ORANG, BENCI HARTA SENDIRI

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud :
“Daripada kalangan umatku ini siapa yang sayangkan harta saudaranya lebih daripada hartanya sendiri?”Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, siapa yang lebih menyayangi harta orang lain melebihi hartanya sendiri?” Baginda bersabda lagi, “Harta sendiri ialah harta yang didermakan, disedekahkan kepada orang lain. Harta orang lain adalah harta yang disimpan yang tidak disedekahkan kepada sesiapa.”
Berapa ramai dikalangan kita yang dapat memahami hakikat bahawa harta yang diinfakkan itulah harta yang sebenar milik kita? Realitinya ramai manusia berasa berat untuk bersedekah, sukar untuk mengeluarkan wang membantu saudaranya yang lain kerana mereka melihat amalan bersedekah ini pada sudut padangan akal dan nafsu sahaja.
Biasanya kita memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk urusan perbelanjaan diri, sebaliknya untuk bersedekah dan berzakat peruntukkannya sedikit dan terlalu berkira. Mengapa? Kerana hati kita tidak celik akhirat. Kita tidak merasakan akhirat itu keutamaan walaupun hakikatnya ia adalah bakal tempat tinggal kita yang sebenar dan lebih kekal.
Kita menyangka harta yang menjadi milik kita ialah harta yang boleh mengenyangkan perut, mampu memenuhi tuntutan nafsu untuk memiliki pelbagai keinginan atau harta yang boleh menyenangkan hidup kita di dunia. Walaupun sebenarnya kenikmatan yang diperolehi di dunia ini hanyalah bersifat sementara dan habis setakat di sini sahaja. Perut yang kenyang akan kembali lapar, pakaian yang cantik akan menjadi lusuh, kereta yang hebat akan meragam dan rosak, segalanya tiada yang kekal di dunia ini.
Sesungguhnya, Rasulullah S.A.W menggalakkan kita supaya bersedekah berbanding menyimpan harta yang kita ada untuk kegunaan sendiri. Jika kita merasa sayang hendak bersedekah, ini bermakna kita lebih menyayangi harta orang lain berbanding harta milik sendiri.
Apa yang dimaksudkn dengan ‘harta milik sendiri’? Sebenarnya yang dimaksudkan harta milik sendiri itu ialah segala harta yang kita sedekahkan kepada fakir-miskin, anak yatim, dan jalan perjuangan itu adalah seumpama “tabungan” kita untuk keperluan akhirat. Semakin banyak sedekah yang kita keluarkan, sebenarnya semakin banyak harta ‘tabungan akhirat’ kita.
Celikkanlah mata hati kita. Nabi S.A.W bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud :
“Barang siapa yang bersedekah sebesar biji kurma dari hasil yang baik dan Allah SWT hanya menerima sesuatu yang baik saja. Nescaya Allah SWT akan menerimanya dengan tangan kanan-Nya, lalu memeliharanya untuk diberikan kepada pemiliknya sebagaimana salah seorang daripada kalian memelihara anak kudanya hingga (pahala sedekahnya itu) menjadi seperti gunung”. (Hadis Bukhari).
 Sudah cukupkah ‘tabungan’ kita di akhirat? Sudah meningkatkah dividen dan keuntungan pelaburan kita dalam saham-saham akhirat sana? Ayuh, bersegeralah kita meningkatkan ‘tabungan akhirat’ kita. Benar pepatah Melayu menyatakan, “Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit”. Beramallah kita sedikit-sedikit tetapi tetap dan berterusan, moga nanti kita bertemu Allah dengan beroleh hasil tabungan pahala yang banyak, Insyaallah.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Free Samples By Mail