Selamat Datang

Portal ini merupakan alternatif kepada pelajar dan masyarakat untuk mendapatkan informasi berkaitan pengumuman , aktiviti dan program terkini yang melibatkan Pejabat HEP dan para pelajar Selangor di Mesir

Segala artikel,pengumuman dan berita yang tersiar adalah merupakan suara pejabat HEP Selangor namun segala komentar dan pandangan adalah pandangan peribadi pelayar ,bukan mewakili Pejabat HEP Selangor.segala pertanyaan ,aduan dan pandangan boleh dirujuk kepada Pejabat HEP Selangor Mesir +20224092392

WAKTU PERKHIDMATAN KAMI : HARI AHAD - KHAMIS ( WAKTU : 8.30AM - 3.30PM / REHAT : 12PM -1PM )

AHLAN WA SAHLAN..KAMI MENGALU-ALUKAN KEHADIRAN ANDA.

Jumaat, 22 April 2011

PROGRAM JAULAH DAN ZIARAH MAHABBAH KE ISKANDARIAH DAN DAMANHUR




Pejabat HEP Selangor Mesir bersama AJKT Badan kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) 2010/2011 meneruskan siri ke 2 Jaulah dan Ziarah Mahabbah Mahasiswa Selangor di Mesir.

Kali ini, rombongan kami menziarahi anak-anak Selangor yang berada di Iskandariah al-Madinatul Ahlam dan Damanhur al-Qaryah Fil Hadiqah, dengan matlamat untuk mengukuhkan tali silaturrahim, merapatkan ukhuwah, menjaga kebajikan dan mengenalpasti permasalahan yang berlaku di kalangan mereka.

Pejabat HEP Selangor diketuai oleh Ustaz Mohd Faryzan bin Subkhi manakala Badan Kebajikan Anak-anak Selangor Mesir (BKASM) pula di wakili oleh Yang Dipertua Yazid bin Ahmad bersama seluruh AJKT BKASM.

Setibanya kami ke Iskandariah, kami disambut oleh Pihak Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah serta Wakil (Mandubah) Selangor serta seluruh mahasiswa Selangor yang berada di sana. Manakala di Damanhur pula rombongan kami disambut mesra oleh Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa Damanhur, Ustaz Mukmin bin Ilias serta mahasiswa Selangor yang menuntut di sana.

Antara agenda program ini ialah sesi ramah mesra bersama Pegawai HEP Selangor Mesir, Ta'aruf AJKT BKASM sesi 2010/2011, pengenalan aktiviti dan program BKASM serta sesi dialog dan soal jawab. 

Pihak Pejabat HEP Selangor Mesir merakamkan jutaan terima kasih atas sambutan yang diberikan oleh para mahasiswa Selangor yang berada di Iskandariah dan Damanhur. Semoga tautan ukhuwah yang kita bina dapat diteruskan dan dipertingkatkan dari masa ke semasa seterusnya menjadi momentum kepada kecemerlangan yang selama ini diimpikan.

Khamis, 21 April 2011

ZIARAH MAHABBAH PEGAWAI HEP SELANGOR SIRI 4




Program ziarah mahabbah yang bertujuan untuk melaksanakan agenda kebajikan diteruskan lagi oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar Selangor Mesir untuk kali yang k 4. Kali ini giliran Rumah Negeri Selangor di Raba'ah atau di kenali sebagai Rumah Lama Negeri Selangor menjadi lokasi pertemuan antara pegawai dan mahasiswa Selangor.

Turut bersama di dalam program ini ialah wakil badan pengurus PMRAM dan beberapa AJKT BKASM yang diketuai oleh Ustaz Yazid Ahmad.

Rumah Selangor Raba'ah merupakan rumah pertama milik Kerajaan Negeri Selangor yang dibeli sekitar Julai 1977 dengan kerjasama PMRAM pada waktu itu. Ia kemudiannya dirasmikan oleh YB Dato' Hormat Rafiee, pada tahun 1982, beliau adalah Menteri Besar Selangor pada waktu itu.

Ustaz Mohd Faryzan Subkhi selaku Pegawai HEP Selangor Mesir menyampaikan beberapa maklumat terkini berkaitan Pejabat HEP Selangor diantaranya ialah berkaitan perlaksanaan EIS-Enterprise Information System hasil kerjasama Lembaga Zakat Selangor, pemerkasaan Tarbiyah dan kebajikan serta penekanan soal keselamatan diri.

Turut diserikan di dalam majlis ini ialah penyampaian sumbangan kipas daripada Pejabat HEP Selangor sebanyak lima buah untuk kegunaan ahli rumah diwaktu musim panas yang menjelang tiba.

Semoga pertemuan ini mengukuhkan silaturrahim di antara mahasiswa dan pihak Pejabat HEP Selangor Mesir.    

Rabu, 20 April 2011

SISTEM EIS DAN PEMERKASAAN MAKLUMAT


Pejabat HEP Selangor Mesir dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor mengorak langkah dengan melaksanakan sistem EIS-Enterprise Information System iaitu satu sistem perisian yang bertujuan membantu mendapatkan maklumat berkaitan status permohonan zakat dengan secara cepat dan lebih terkini. 

Sistem yang telah dilaksanakan mulai 1 Mac 2011 di Pejabat HEP Selangor akan dapat membantu para pelajar untuk mengenalpasti status permohonan bantuan pendidikan mereka dalam tempoh segera.

Pihak Pejabat HEP Selangor merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak Lembaga Zakat Selangor atas kerjasama yang diberikan demi memastikan pihak kami dapat melaksanakan khidmat yang terbaik kepada mahasiswa di Mesir ini.

Panduan untuk para pelajar yang ingin mendapatkan maklumat status permohonan mereka :

1. Pastikan borang yang lengkap telah di hantar ke Lembaga Zakat Selangor (di Malaysia).
2. Hubungi Pejabat HEP Selangor di Hayyu Asyir, Kaherah ditalian : (002)02-24092392
3. Nyatakan nama penuh dan nombor kad pengenalan anda.

InsyaAllah, maklumat terkini berkenaan status anda akan diperolehi dengan kadar segera.

Selasa, 19 April 2011

ZIARAH MAHABBAH PEGAWAI HEP SELANGOR KE RUMAH SEWA SIRI 3


Siri Ziarah Mahabbah ke rumah-rumah sewa mahasiswa Selangor di teruskan demi merapatkan lagi hubungan antara pegawai dan anak-anak Selangor. Kali ini Pejabat HEP Selangor bersama Badan Pengurusan PMRAM dan AJKT BKASM bersama-sama menziarahi rumah sewa di Perumahan Walidain.

Kumpulan kami disambut oleh ahli rumah yang diketuai oleh Akhi Zarul dan Izzat dengan mesra dan penuh ceria.

Pegawai HEP Selangor, Ustaz Mohd Faryzan bin Subkhi melahirkan rasa gembira di atas sambutan yang diberikan oleh penghuni rumah tersebut. Beliau memberikan beberapa amanat antaranya berkaitan isu kebajikan yang menjadi agenda utama pejabat HEP Selangor, pemerkasaan tarbiyah yang menjadi harapan pihak kerajaan Negeri Selangor dan pengukuhan ukhuwah antara pihak pejabat dan mahasiswa Selangor.

Di pihak Pejabat HEP Selangor, sekalung penghargaan kami berikan kepada pihak penghuni rumah akhi Zarul dan Izzat, semoga pertemuan ini merapatkan lagi ukhuwah antara kita semua.

Ahad, 17 April 2011

PROGRAM JAULAH DAN ZIARAH MAHABBAH KE DUMYAT DAN MANSOURAH


Pada 16 April 2011, Pejabat HEP Selangor Mesir bersama Badan Kebajikan Anak-anak Selangor Mesir(BKASM) telah mengadakan program Jaulah Dan Ziarah Mahabbah mahasiswa Selangor yang berada di Dumyat dan Mansurah.

Program yang menemukan anak-anak Selangor yang berada di kedua-dua daerah tersebut antara lain bertujuan untuk mengukuhkan tali silaturrahim, merapatkan ukhuwah, menjaga kebajikan dan mengenalpasti permasalahan yang berlaku di kalangan mereka.

Pihak Pejabat HEP Selangor Mesir merakamkan jutaan terima kasih atau komitmen yang diberikan oleh para mahasiswa. Pelbagai isu dan pertanyaan yang hampir kesemuanya telah berjaya diselesaikan dan diambil perhatian.

Semoga tautan ukhuwah yang kita bina dapat diteruskan dan dipertingkatkan dari masa ke semasa seterusnya kecemerlangan yang diimpikan akan menjadi kenyataan.   

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Free Samples By Mail