WAKTU PERKHIDMATAN KAMI : HARI AHAD - KHAMIS ( WAKTU : 8.30AM - 3.30PM / REHAT : 12PM -1PM )

AHLAN WA SAHLAN..KAMI MENGALU-ALUKAN KEHADIRAN ANDA.

Rabu, 30 Mac 2011

KAYA HARTA KAYA JIWA

Seringkali manusia menilai kekayaan itu dengan banyak harta yang bertimbun, rumah yang indah, kereta mewah yang menjalar, pakaian yang cantik dan wang simpanan yang berkepuk di dalam bank. Kemewahan dan kekayaan tersebut menjadi idaman dan impian setiap manusia. Sangkaan mereka dengan kemewahan tersebut, hidup terasa bahagia dan menyeronokkan. Namun, benarkah dengan segala kemewahan itu dapat menenangkan jiwa?

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A telah berkata ia bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud :

Yang dikatakan kaya itu bukanlah kerana banyak harta, tetapi sebenar-benar kaya ialah kaya jiwa.

Abdul Rahman bin Auf r.a adalah contoh insan unggul yang memilki kekayaan harta dan jiwa. Anas bin Malik r.a pernah meriwayatkan bahawa ketika Siti Aisyah r.a berada di rumah, dia terdengar bunyi riuh rendah, lalu bertanya akan hal itu pada para sahabat. Dan diketahuilah bahawa bunyi itu adalah derap unta kafilah dagang Abdul Rahman bin Auf. Lalu Aisyah berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Aku melihat Abdul Rahman bin Auf memasuki syurga dengan merangkak!” Berita itu akhirnya sampai ke pendengaran Abdul Rahman bin Auf lalu dia datang bertemu Aisyah bertanyakan hal itu. Aisyah menerangkan padanya tentang kekayaan yang membuatkannya merangkak masuk ke syurga. Maka disitu juga Abdul Rahman bin Auf berkata: “Saksikanlah! bahawa tujuh ratus ekor unta ini dengan muatannya itu aku sedekah pada jalan Allah!”

Bukan mudah untuk jiwa ini tunduk mengorbankan harta yang amat dikasihi semata-mata memenuhi kehendak iman. Abdul Rahman diberikan keistimewaan oleh Allah menguasai harta dunia ditangan tetapi beliau tidak meletakkan harta itu di dalam jiwanya. Beliau meyakini kesejahteraan akhirat lebih utama berbanding dunia yang sementara.

Inilah manusia yang wajib kita contohi. Kekayaan yang dimiliki tidak melalaikan dirinya kepada akhirat malah diletakkan sebagai matlamat utama berbanding dunia.

Simiskin yang kaya jiwanya pula tidak memandang bahawa kemiskinan itu menjadi penghalang untuknya mendapat keredhaan Allah S.W.T . Orang kaya yang bersedekah dan berzakat adalah yang sewajarnya kerana mereka berharta, tetapi orang miskin yang bersedekah adalah lebih mulia kerana dalam keadaan hidupnya yang susah mereka masih merasakan ada lagi insan yang lebih susah hidup berbanding dirinya.

Simiskin akan jadi pemurah apabila jiwanya kaya. Satu ringgit yang didermakan oleh orang miskin tidak akan sama nilainya dengan satu ringgit yang didermakan oleh orang kaya. Satu ringgit tetap bernilai satu ringgit bagi orang kaya atau mungkin lebih rendah lagi jika dibandingkan kekayaan yang dimiliki. Sebaliknya satu ringgit mungkin bernilai sepuluh ringgit bagi orang miskin kerana sukarnya orang miskin untuk mendapatkan wang tersebut.

Justeru itu, keikhlasan seorang miskin yang dermawan mungkin lebih tinggi martabatnya berbanding seorang kaya yang dermawan kerana orang miskin yang dermawan pasti lebih tinggi martabatnya kerana dalam keadaan dirinya menghadapi kesulitan hidup namun dia masih mampu untuk menderma dan membantu orang lain.

Hal sedemikian sering dilakukan oleh Sayyidina Ali Abu Thalib dan Siti Fatimah r.a suami isteri, walaupun mereka sendiri hidup dalam kemiskinan. Sayyidina Ali pernah melucutkan cincin perak dari jarinya dan memberikannya kepada seorang peminta sedekah yang datang kepadanya, walaupun beliau ketika itu sedang sibuk mendirikan solat kerana takut peminta sedekah itu berlalu tanpa mendapat apa-apa, sebelum beliau selesai solat.

Wahai insan,

Marilah kita meringankan tangan untuk bersedekah dan berzakat kerana amalan itu akan menjadikan kita insan berjiwa kaya. Alangkah beruntungnya anda sekiranya memiliki kekayaan harta dan kekayaan jiwa.  Alangkah mulianya anda sekira tidak memiliki kekayaan harta tetapi memiliki kekayaan jiwa. Jiwa yang kaya akan melahir insan agung seperti Abdul Rahman bin Auf yang kaya harta dan jiwa atau seperti para sahabat yang lain, mereka miskin harta tetapi memilki jiwa yang kaya. Nanti di akhirat kita akan membawa jiwa yang kaya ini mengadap Allah dengan penuh kesejahteraan dan kedamaian sebagaimana firmanNya di dalam Surah As-Syuaraa’, ayat 88-89:

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, Kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah Dengan hati(jiwa) yang selamat sejahtera.


Oleh :
Mohd Faryzan bin Subkhi
Pegawai HEP Selangor Mesir
Kaherah, Mesir

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Free Samples By Mail