WAKTU PERKHIDMATAN KAMI : HARI AHAD - KHAMIS ( WAKTU : 8.30AM - 3.30PM / REHAT : 12PM -1PM )

AHLAN WA SAHLAN..KAMI MENGALU-ALUKAN KEHADIRAN ANDA.

Rabu, 30 Mac 2011

SAYANG HARTA ORANG, BENCI HARTA SENDIRI

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud :
“Daripada kalangan umatku ini siapa yang sayangkan harta saudaranya lebih daripada hartanya sendiri?”Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, siapa yang lebih menyayangi harta orang lain melebihi hartanya sendiri?” Baginda bersabda lagi, “Harta sendiri ialah harta yang didermakan, disedekahkan kepada orang lain. Harta orang lain adalah harta yang disimpan yang tidak disedekahkan kepada sesiapa.”
Berapa ramai dikalangan kita yang dapat memahami hakikat bahawa harta yang diinfakkan itulah harta yang sebenar milik kita? Realitinya ramai manusia berasa berat untuk bersedekah, sukar untuk mengeluarkan wang membantu saudaranya yang lain kerana mereka melihat amalan bersedekah ini pada sudut padangan akal dan nafsu sahaja.
Biasanya kita memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk urusan perbelanjaan diri, sebaliknya untuk bersedekah dan berzakat peruntukkannya sedikit dan terlalu berkira. Mengapa? Kerana hati kita tidak celik akhirat. Kita tidak merasakan akhirat itu keutamaan walaupun hakikatnya ia adalah bakal tempat tinggal kita yang sebenar dan lebih kekal.
Kita menyangka harta yang menjadi milik kita ialah harta yang boleh mengenyangkan perut, mampu memenuhi tuntutan nafsu untuk memiliki pelbagai keinginan atau harta yang boleh menyenangkan hidup kita di dunia. Walaupun sebenarnya kenikmatan yang diperolehi di dunia ini hanyalah bersifat sementara dan habis setakat di sini sahaja. Perut yang kenyang akan kembali lapar, pakaian yang cantik akan menjadi lusuh, kereta yang hebat akan meragam dan rosak, segalanya tiada yang kekal di dunia ini.
Sesungguhnya, Rasulullah S.A.W menggalakkan kita supaya bersedekah berbanding menyimpan harta yang kita ada untuk kegunaan sendiri. Jika kita merasa sayang hendak bersedekah, ini bermakna kita lebih menyayangi harta orang lain berbanding harta milik sendiri.
Apa yang dimaksudkn dengan ‘harta milik sendiri’? Sebenarnya yang dimaksudkan harta milik sendiri itu ialah segala harta yang kita sedekahkan kepada fakir-miskin, anak yatim, dan jalan perjuangan itu adalah seumpama “tabungan” kita untuk keperluan akhirat. Semakin banyak sedekah yang kita keluarkan, sebenarnya semakin banyak harta ‘tabungan akhirat’ kita.
Celikkanlah mata hati kita. Nabi S.A.W bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud :
“Barang siapa yang bersedekah sebesar biji kurma dari hasil yang baik dan Allah SWT hanya menerima sesuatu yang baik saja. Nescaya Allah SWT akan menerimanya dengan tangan kanan-Nya, lalu memeliharanya untuk diberikan kepada pemiliknya sebagaimana salah seorang daripada kalian memelihara anak kudanya hingga (pahala sedekahnya itu) menjadi seperti gunung”. (Hadis Bukhari).
 Sudah cukupkah ‘tabungan’ kita di akhirat? Sudah meningkatkah dividen dan keuntungan pelaburan kita dalam saham-saham akhirat sana? Ayuh, bersegeralah kita meningkatkan ‘tabungan akhirat’ kita. Benar pepatah Melayu menyatakan, “Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit”. Beramallah kita sedikit-sedikit tetapi tetap dan berterusan, moga nanti kita bertemu Allah dengan beroleh hasil tabungan pahala yang banyak, Insyaallah.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Free Samples By Mail