Bersempena dengan Lawatan Pegawai HEP Selangor ke Jordan baru-baru ini, satu majlis pelancaran Buku KPI Tarbiyah telah di laksanakan dengan jayanya.
Majlis yang diadakan sempena Mesyuarat Agong Tahunan (AGM) Badan Kebajikan Anak Selangor Jordan (BKASJ) telah disempurnakan oleh Ustaz Mohd Faryzan bin Subkhi, Pegawai HEP Selangor Mesir di Dewan Kuliah Tarbiyah, Universiti Yarmouk, Jordan.
Majlis penyerahan Buku KPI Tarbiyah kepada Yang Di Pertua BKASJ sesi 2010/2011 ini adalah sebagai simbolik perlaksanaan KPI Tarbiyah kepada seluruh anak-anak Selangor yang berada di bumi Jordan.
Sebagai pencerahan, Key Performance Indicator (KPI) Tarbiyah diwujudkan sebagai salah satu usaha untuk menilai prestasi syakhsiyah Mahasiswa Selangor secara tersusun dan bersistematik.
Ia adalah selari dengan hasrat murni Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan untuk melahirkan mahasiswa yang cemerlang dalam segenap aspek termasuklah cemerlang disudut akademik, syakhsiah, akhlak dan ibadah.
Setakat ini, KPI Tarbiyah ini telah diimplimentasikan kepada seluruh pelajar Selangor yang berada di Mesir.
Semoga dengan berkembangnya usaha murni ini ke peringkat Jordan, hasrat dan keinginan untuk melahirkan mahasiswa Islam yang cemerlang di dunia dan akhirat akan dapat direalisasikan.