Pejabat Hal Ehwal Pelajar Selangor amat mengambil berat soal keselamatan pelajar sepanjang keberadaan mereka di Negara Mesir ini. Kes-kes yang berlaku seperti samun, kecurian dan ugutan ke atas pelajar di sekitar Hayyu 'Asyir dan cawangan-cawangan yang lain sejak akhir-akhir ini menuntut agar para pelajar tidak memandang ringan soal keselamatan diri mereka. Garis panduan yang telah di keluarkan oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah wajar dipatuhi demi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Terbaru, semalam diberitakan 2 orang pelajar Selangor diperas ugut di kawasan Walidain dan Bawabah Talitah sehinggakan diacukan pistol sebagai ancaman. Beberapa lagi kes sebelum ini yang berlaku sebenarkan memberi peringatan yang jelas kepada kita semua mahasiswa untuk menjaga keselamatan diri dengan semaksima mungkin dan mengambil langkah sangat berjaga-jaga pada satiap masa lebih-lebih lagi ketika berada di luar.
Sebarang aduan keselamatan dan musibah, sila berhubung dengan pihak kami di talian pejabat : (002)02-24092392 atau Pegawai Selangor : 014-2441046 atau hubungi wakil-wakil persatuan pelajar yang berhampiran dengan kediaman anda.
Seluruh pelajar Selangor di setiap muhafazah dingatkan agar mengambil perhatian tentang perkara berikut :
1. Sila patuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).
2. Sila patuhi arahan perintah berkurung yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Tertinggi Angkatan Tentera Mesir yang bermula jam 12 pagi hingga 6 pagi. Namun, diminta untuk berada di dalam kediaman masing-masing selewat-lewatnya jam 10 malam.
3. Dilarang menyertai sebarang perhimpunan atau aktiviti yang berbaur politik tempatan.
4. Elakkan mengulas sebarang isu politik yang berlaku di Mesir dengan warga Arab tempatan.
5. Pastikan tidak keluar seorang diri samada siswa atau siswi.
6. Pastikan kediaman dikunci rapi sebelum keluar.
7. Jangan terpedaya dengan dakwaan warga Arab tempatan sebagai “mabahis”.
Beringat sebelum kena, keselamatan diri dan nyawa perlu diutamakan.
Hak milik : Pejabat HEP Selangor Mesir