WAKTU PERKHIDMATAN KAMI : HARI AHAD - KHAMIS ( WAKTU : 8.30AM - 3.30PM / REHAT : 12PM -1PM )

AHLAN WA SAHLAN..KAMI MENGALU-ALUKAN KEHADIRAN ANDA.

Selasa, 16 April 2013

HARI PENGUNDIAN POS DI MESIR

Rujukan: SR(050)337/4/2 Vol.1

Tarikh: 16 April 2013

Kepada:  Semua HBS
                 Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) / Agensi-Agensi Kerajaan Malaysia
                 Mesir


YBhg. Datuk / Professor / Tuan / Puan / Cik,

Saya dengan hormatnya ingin merujuk perkara tersebut di atas.

2.
    Adalah dimaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) telah ditetapkan sebagai Pusat Serahan dan Terimaan Kertas Undi Pos di Mesir.  Sehubungan dengan ini, KBMK telah dan sedang membuat persiapan terakhir bagi melaksanakan urusan tersebut dengan sewajarnya.

3.
    Sehubungan dengan ini, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah memutuskan supaya penyerahan dan penerimaan balik Sampul Keutamaan yang mengandungi Kertas Undi Pos di KBMK ditetapkan pada 28 April 2013 (Ahad) mulai jam 9.00 am hingga 6.00 pm. Kenyataan Media SPR yang jelas maksudnya adalah dilampirkan untuk rujukan dan makluman.

4.
    Semua HBS, khususnya Ketua-Ketua Agensi, adalah dipohon untuk membantu mewar-warkan mengenai tarikh tersebut kepada Pengundi Tidak Hadir (PTH) dan Pengundi Biasa Undi Pos seperti memaparkan ke laman web Agensi-Agensi masing-masing, memaklumkan kepada wakil-wakil persatuan / kelab, emel dan sms. 

5.
    Segala kerjasama yang dihulurkan dalam perkara ini amatlah dihargai.

Sekian, terima kasih.

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

Saya yang menurut perintah,

SHAIFUL ANUAR HJ MOHAMMAD
Ketua Canseri Kedutaan Besar Malaysia Kaherah


s.k.
    TYT Dato' Duta Besar Malaysia ke Mesir




KENYATAAN MEDIA
SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MALAYSIA
PENYERAHAN DAN PENERIMAAN BALIK SAMPUL KEUTAMAAN

 
1. Mulai Pilihan Raya Umum Ke-13, SPR telah membuat ketetapan kepada semua warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara dan Pengundi Tidak Hadir (PTH) untuk menerima kertas undi pos di Pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara sebagaimana yang dipohon.
 

2. SPR bercadang untuk membuat penyerahan dan penerimaan balik Sampul Keutamaan yang mengandungi Kertas Undi Pos di Pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia pada ketetapan seperti yang berikut ;
Pejabat Perwakilan Malaysia di London, United Kingdom dan Melbourne, Australia :
Tarikh : 28 April 2013 (Ahad)
Masa : 9.00 a.m hingga 8.00 p.m
Semua Pejabat-Pejabat Perwakilan Malaysia yang lain :
Tarikh : 28 April 2013 (Ahad)
Masa : 9.00 a.m hingga 6.00 p.m
 

3. SPR menetapkan masa penyerahan dan penerimaan balik Sampul Keutamaan yang mengandungi Kertas Undi Pos di Pejabat Perwakilan Malaysia di London, United Kingdom dan Melbourne, Australia dilanjutkan selama 2 jam berbanding Pejabat-pejabat Perwakilan yang lain disebabkan Pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia berkenaan mempunyai jumlah pengundi pos melebihi 1,000 orang.
 

4. Semua warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara dan PTH hendaklah hadir ke Pejabat Perwakilan Malaysia dengan menunjukkan Kad Pengenalan atau Pasport Antarabangsa kepada petugas-petugas SPR di Pejabat Perwakilan yang berkenaan. Sampul Keutamaan TIDAK akan diserahkan kepada mereka yang tidak membawa dokumen pengenalan diri. Wakil atau saudara juga tidak dibenarkan mengambil Sampul Keutamaan bagi pihak individu yang lain.
 

5. Warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara dan PTH yang hadir ke Pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia akan diserahkan Sampul Keutamaan yang mengandungi kertas undi pos. Kertas undi yang telah ditanda perlu dimasukkan ke dalam Karung Khas SPR yang disediakan di Pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara. Sampul-Sampul yang mengandungi kertas undi pos di dalam Karung Khas SPR tersebut akan dibawa pulang ke Malaysia pada hari yang sama untuk diserahkan kepada Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya masing-masing.
 

6. Namun demikian, sekiranya terdapat Warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara atau PTH mengambil Sampul Keutamaan selepas hari penyerahan atau mengembalikan Sampul yang mengandungi kertas undi pos selepas tarikh dan masa yang ditetapkan, mereka dikehendaki menguruskan sendiri urusan penghantaran balik ke Pejabat Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya yang berkaitan dan dengan perbelanjaan sendiri.
 

7. Sehingga kini semua Borang 1B telah dihantar ke Pejabat Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya masing-masing (Parlimen) untuk tujuan kelulusan Pegawai Pengurus. Warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara dijangka boleh membuat semakan mengenai keputusan permohonan mengundi melalui pos dan maklumat yang berkaitan dengan tarikh, masa dan alamat Pejabat Perwakilan
Malaysia di luar negara di laman web SPR di www.spr.gov.my bermula pada 19 April 2013.
Sekian dan terima kasih



…………………t.t……………………
(DATUK KAMARUDDIN MOHAMED BARIA)
Setiausaha
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
15 April 2013

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Free Samples By Mail