WAKTU PERKHIDMATAN KAMI : HARI AHAD - KHAMIS ( WAKTU : 8.30AM - 3.30PM / REHAT : 12PM -1PM )

AHLAN WA SAHLAN..KAMI MENGALU-ALUKAN KEHADIRAN ANDA.

Isnin, 23 Julai 2012

RAMADHAN; PERJUANGAN BERMULA



Ramadhan menjelma lagi, membawa bersama seribu satu rahmat dan keampunan kepada kita. Ia bulan yang dirindui oleh insan yang menjadikan keredhaan dan keampunan Allah SWT adalah yang paling utama dalam kehidupan mereka. Inilah bulan yang Allah janjikan hadiah ketaqwaan sebagai bonus dalam kehidupan didunia dan akhirat, seperti yang difirman oleh Allah di dalam surah Al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud :

Wahai orang-orang yang beriman! diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana 
diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, 
supaya kamu bertaqwa.


Marilah kita mengambil peluang yang cukup besar ini untuk bersama berlumba mencari rahmat dan keredhaan Allah SWT. Inilah waktu dan ketikanya untuk kita beriltizam dalam ketaatan dengan memperbanyakkan membaca Al-Quran, berzikir, mendirikan solat fardhu dan sunat, bertarawikh di malam hari, berqiamullail di dini hari, perbanyakkan sedekah, bersikap jujur dan ihsan dalam bermuamalah, ikhlas dalam tindakan dan amalan serta tekun dalam gerakkerja dan perancangan. 

Di dalam sejarah perjuangan Islam, banyak catatan kemenangan dan kejayaan umat berlaku di dalam bulan yang mulia ini. Lihat sahaja kemenangan yang dicapai oleh Nabi & para sahabat di dalam perang Badar al-Kubra dan perang Khandak menjadi bukti nyata bahawa lapar dan dahaga yang kita tanggung di dalam Bulan Ramadhan bukan sebagai hujah dan alasan untuk kita tidur sepanjang hari dan lesu keletihan.

Jadikanlah bulan Ramadhan ini sebagai bulan untuk melatih diri, hati dan jiwa kita untuk berusaha tunduk dan patuh kepada segala perintah Allah. Kalau dalam bulan ini kita mampu tidak makan dan tidak minum, banyak bertadarus dan bertadabbur dengan al-Quran dan bangun beribadah pada setiap malam, maka kekuatan itulah yang kita harapkan dalam perjuangan menegakkan Islam di muka bumi ini. 

Kami pohon kepada Allah agar mengekalkan hati-hati kami, jiwa dan kudrat kami untuk kekal mentaati segala perintahNya di setiap masa dan ketika. Moga setiap lafaz zikir, titisan air mata keinsafan dan keringat yang mengalir semata-mata melaksanakan perintahNya, mendapat perhatian dan penilaian daripada Allah SWT.

Maha suci Allah, kepadaNya sahajalah kami bertawakkal dan menyerahkan segala urusan.

Semoga Allah merahmati dan memberkati hidup kita.

Ramadhan Kareem,

MOHD FARYZAN BIN SUBKHI
Pejabat Hal Ehwal Pelajar Selangor Mesir
Hayyu 'Asyir, Thooba el-Ramly, Madinat Nasr, Kaherah.
Isnin, 4 Ramadhan 1433H/23 Julai 2012


Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Free Samples By Mail